Friday, July 31, 2009

separuh nafas

Separuh nafas
Dalam ketidakpastian detikan masa
Ku lihat penghujung lorong berbalam
Sinar itu, bisakah datang
Atau kelam itu, bakalkah menjengah

Separuh nafas

Ribut di dada ini kian berkocak
Tunjang pohon ini akarnya merekah
Paksi bumi kian ligat berpusing
Tuhan, tegarkan aku dalam agung kuasaMu

Separuh nafas

Pawana, hembusi jauh kisah duka
Lara ini biar ada penawarnya
Pawaka, nyalai marak cerita suka
Luka ini agar ada sembuhnya

Separuh nafas

Saat esakan hiba parah nian
Tersentak, dari senandung irama pedih
Wahai diri
Engkau siapa mahu mempersoal kudratNya?
Engkau siapa mahu merintih takdirNya?
Engkau siapa mahu mengeluh ujianNya?
Engkau siapa mahu menjengah tabirNya?

Separuh nafas

Untaian syukur jangan pernah terhenti
Hijab hikmah bakal disingkapi
Nikmat Ilahi hujung jalannya pasti
Perit sabar buahnya manis terperi

Tuhan,

Lenakan aku dalam rahmatMu
Nyawakan aku dalam redhaMu
Agar separuh nafas berbaki ini
Helaannya berhembus sisa damai abadi


remang maghrib

teratak langit
310709, 2030

0 comments: